Thursday, February 7, 2019

PENGENALAN

Minggu Suai Kenal (MSK) bagi pelajar baharu Politeknik Muadzam Shah (PMS diadakan sebaik sahaja selepas proses pendaftaran politeknik dan pendaftaran kamsis selesai dijalankan. Minggu Suai Kenal bagi pelajar-pelajar baharu disini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah yang telah disediakan oleh pihak kami.
Tujuan diadakan Minggu Suai Kenal ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan keadaan kampus PMS setelah bergelar siswa dan siswi.

Tidak ada unsur ragging atau penderaan pelajar kerana tujuan kita masuk ke politeknik ini adalah untuk belajar dan menimba seberapa banyak ilmu yang ada dan tindakan tegas boleh dikenakan sekiranya terdapat aduan atau laporan jika disabitkan dengan kesalahan yang sedemikian.

Dalam masa tersebut juga pelajar diberi maklumat yang penting berkaitan dengan program pengajian yang ditawarkan, halatuju dan kerjaya serta kemudahan yang telah disediakan oleh pihak politeknik sepanjang pelajar berada di PMS

Disamping itu juga pelajar diberi bimbingan ke arah hidup di kampus agar dapat mengenali satu sama lain dengan semangat setiakawan dan saling hormat menghormati sesama pelajar dan pensyarah serta staf di Politeknik di dalam membentuk sahsiah dan berkeperibadian yang mulia.

Aktiviti berkumpulan juga diterapkan di dalam MSK ini dengan harapan agar pelajar dapat mengenali diri sendiri dan rakan seprogram disamping memperkukuhkan kekuatan diri masing-masing. Persediaan dari segi mental dan fizikal perlulah seimbang untuk menjadikan seseorang pelajar lebih kreatif dan berinovatif di dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang dipanggil sebagai "Campus Life".

Selain daripada itu, pelajar juga didedahkan dengan sistem pengajaran dan pembelajaran yang sama sekali berbeza sewaktu para pelajar berada di alam persekolahan. Pelajar seharusnya sentiasa bersedia didalam apa jua keadaan dan janganlah persediaan peperiksaan dilakukan disaat-saat akhir kerana akibat dan kesannya adalah sangat buruk.

Didalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan memenuhi aspirasi negara, pelajar juga didedahkan dengan sistem kualiti yang diamalkan di PMS. Ini juga selaras dengan falsafah Politeknik bagi menghasilkan insan yang holistik yang bercirikan keusahawanan.

Justeru itu, adalah menjadi harapan seluruh warga PMS untuk melihat anda menjadi seorang graduan yang mampu mengharumkan nama Politeknik Muadzam Shah bukan sahaja diperingkat kebangsaan malah diperingkat antarabangsa. Maka jadilah pelajar yang mempunya semangat juang yang kental dan jangan mudah mengalah dalam apa jua bidang yang diceburi.



Sekian.

MOHD.HAZELY BIN ABDUL RAHIM
Pegawai Hal Ehwal Pelajar
(Pengambilan & Data)
Politeknik Muadzam Shah